PASUKAN Jerman menjalani latihan menjelang Euro 2024. FOTO Agensi
PASUKAN Jerman menjalani latihan menjelang Euro 2024. FOTO Agensi
Reuters

Berlin: Selepas kecewa tanpa sebarang kejuaraan antarabangsa sejak 10 tahun lalu, Jerman berhasrat untuk menamatkan kemarau itu dengan menjuarai Euro 2024.

Malah, kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri mahu dimanfaatkan sebaiknya oleh pasukan Jerman kendalian Julian Nagelsmann.

Untuk rekod, kali terakhir negara itu memenangi gelaran antarabangsa adalah pada 2014 dalam saingan Piala Dunia yang menyaksikan Jerman untuk juara dunia dengan menundukkan Argentina di pentas final.

Nagelsmann mengakui misi pasukannya adalah untuk menjuarai Euro 2024 dan itu sasaran utama pasukan.

"Matlamat kami adalah memenanginya. Ia sama dalam semua pertandingan lain. Mungkin ia bukan tindakan yang baik buat kami untuk menyatakan hasrat menjadi juara Eropah.

"Kami akan menyahut cabaran itu. Ia tugas yang besar, ia pasti mencabar, dan tentunya bukan peluang yang muncul setiap masa," kata Nagelsmann yang mengambil alih pasukan pada Oktober 2023 lalu.

Bekas juara empat kali Piala Dunia dan tiga kejuaraan Eropah itu bakal diperkuatkan dengan pemain-pemain muda berbakat seperti Jamal Musiala dan Florian Wirtz.

Kelompok pemain muda ini akan dibantu oleh beberapa pemain berpengalaman antaranya Manuel Neuer, Thomas Mueller dan Toni Kroos.

Bahagian serangan Jerman pula akan diterajui Kai Havertz sambil dibantu Niclas Fuellkrug sebagai penyerang simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 10:53 AM