JOOHARI menunjukkan manifesto PADU pada Ceramah Perpaduan sempena PRK DUN Sungai Bakap di Taman Tasek Indah. FOTO Danial Saad
JOOHARI menunjukkan manifesto PADU pada Ceramah Perpaduan sempena PRK DUN Sungai Bakap di Taman Tasek Indah. FOTO Danial Saad
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Manifesto calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin yang menerapkan konsep PADU bagi membantu penduduk di kawasan itu dilihat realistik dan logik.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana di belakang janji yang dibuat oleh Joohari itu adalah kerajaan negeri Pulau Pinang dan Persekutuan.

"Janji Joohari itu ada logiknya dan boleh menarik minat pengundi. Ini kerana beliau adalah pencabar dan juga mewakili kerajaan negeri.

"Sebagai pencabar, beliau boleh mengatakan wakil rakyat sebelum ini, Pas tidak mampu.

"Bagi saya, oleh kerana Joohari juga mewakili kerajaan negeri PH, maka mudah janji itu dikotakan jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Joohari semalam melancarkan manifesto menerapkan konsep PADU sebagai iltizam membantu penduduk Sungai Bakap sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 6 Julai ini.

Empat teras yang terkandung dalam iltizam itu adalah simbolik daripada perkataan per-PADU-an iaitu, P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai dan U - Untuk Semua.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pihaknya melihat calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Abidin Ismail sukar untuk menabur janji berbanding Joohari.

"Joohari boleh menongkah (arus) bahawa sebelum ini, sukar bagi wakil rakyat Pas sebagai pembangkang untuk membantu kawasan ini kerana tidak serasi dan tidak sebahagian daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Dalam hal ini, ada dua kelebihan kepada Joohari. Pertamanya, sebagai pencabar yang boleh mencabar wakil rakyat Pas sebelum ini yang tidak melakukan apa-apa.

"(Kedua) boleh mempengaruhi (pengundi) kerana Joohari juga mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari mewakili PH menentang Abidin dari PN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2024 @ 12:26 PM