Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann. FOTO Agensi
Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann. FOTO Agensi
AFP

Munich, Jerman: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann berkata kejayaan membenam Scotland 5-1 adalah langkah pertama buat pasukan tuan rumah itu dalam misi menjulang mahkota kejuaraan.

Jerman yang agak bergelut di pentas antarabangsa tanpa sebarang kejuaraan sejak satu dekad lalu tampil garang membelasah Scotland dalam aksi pembukaan Euro 2024 awal pagi tadi.

"Pasukan ini sedar bahawa ini adalah langkah pertama," kata Nagelsmann ketika Jerman mengintai kejuaraan Eropah keempat di pentas Eropah.

"Kemenangan ini sangat bagus dan sangat penting di mana kemenangan ini membuatkan kami boleh membina keyakinan untuk melangkah lebih jauh," katanya.

Dalam aksi itu, lima gol tuan rumah disumbangkan oleh Florian Wirtz, Jamal Musiala, Kai Havertz, Niclas Fuellkrug dan gol sendiri pemain Scotland membolehkan Jerman membuka kempen Kumpulan A dengan tiga mata.

Selepas ini, tuan rumah akan turun menentang Switzerland dan Hungary dengan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan lebih awal.

"Kami tidak melepaskan sebarang peluang daripada permainan terbuka. Ia adalah petanda yang sangat baik untuk pasukan menjadi lebih ampuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:54 AM