ASSIFUAH kian menyerlahkan. FOTO IHSAN KDA FC
ASSIFUAH kian menyerlahkan. FOTO IHSAN KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Sumbangan berharga penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ebenezer Assifuah dalam dua aksi saingan Piala FA dan Liga Super, ternyata melegakan penyokong Sang Kenari.

Tiga gol yang dihasilkan penyerang dari Ghana ketika membantu Sang Kenari menewaskan Bukit Tambun FC dengan keputusan 5-0 pada pusingan 16 terakhir Piala FA sebelum ini dan satu gol ketika menewaskan Penang FC di saingan Liga Super Jumaat lalu, ibarat talian hayat yang cukup bermakna dan wira buat penyokong.

Justeru, penyokong Kedah mahu pemain import licik yang diturunkan pada babak kedua ketika aksi menentang Penang FC lalu itu diberi lebih peluang dalam usaha memperkukuhkan lagi jentera serangan skuad utama di bawah kendalian Nafuzi pada musim ini.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA), Nor Hasmadi Hamzah, tahap keyakinan pemain itu kini dilihat semakin meningkat dan terbaik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Kami selaku penyokong setia berharap Assifuah akan terus dapat meningkat keyakinan dan ketajaman yang sangat diperlukan pasukan dalam usaha untuk memastikan pasukan mencapai kemenangan seterusnya.

"Walaupun beliau bukan penyerang utama, namun ciri-ciri ketajamannya apabila beraksi cukup membantu pasukan merealisasikan impian dan memberikan kami harapan baharu buat pasukan untuk mendapatkan gol.

"Kami percaya jika peranan yang lebih luas diberikan kepadanya dalam perlawanan akan datang, dia mampu menjadi peledak yang diharapkan," katanya.

Pada saingan Piala FA setakat ini, Assifuah yang juga penjaring terbanyak saingan Piala MFL musim lalu dengan 13 gol, turut berkongsi jumlah jaringan tiga gol bersama pemain import Sabah FC, Ramon Machado.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2024 @ 5:41 PM