EBENEZER Assisfuah berharap dapat membantu pasukan dalam memburu kemenangan untuk aksi menentang Penang FC malam esok. FOTO KDA FC
EBENEZER Assisfuah berharap dapat membantu pasukan dalam memburu kemenangan untuk aksi menentang Penang FC malam esok. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Penyerang import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ebenezer Assifuah bertekad meneruskan momentum terbaik yang dimilikinya kini dalam membantu Sang Kenari pada aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam esok.

Selepas meledak hatrik pada saingan Piala FA menentang Bukit Tambun FC (BTFC) minggu lalu, pemain import dari Ghana ini diharapkan dapat mengekalkan ketajamannya bagi membantu jentera serangan Sang Kenari dalam misi memburu gol dan seterusnya mencapai kemenangan.

"Hatrik yang saya perolehi itu memberi semangat serta motivasi buat saya dan juga pasukan untuk menentang Penang FC kerana kita tahu pasukan mencari kebangkitan selepas dua kali tewas pada saingan Liga Super yang lalu.

"Kami mahukan kemenangan dan motivasi yang kami perolehi ketika memperolehi kemenangan pada saingan Piala FA lalu akan menjadi bekalan buat kami untuk seterusnya memastikan kami dapat membawa pulang tiga mata penuh.

"Saya sedar lawan kami iaitu Penang FC adalah pasukan yang berbeza serta lebih mencabar, dan oleh itu saya perlu terus fokus bagi memastikan misi kami berjaya," katanya.

Assifuah yang juga penjaring terbanyak pada saingan Piala MFL musim lalu juga berkata, selain berusaha untuk kekal dalam senarai kesebelasan utama, tahap persefahamannya yang terjalin antara pemain dalam pasukan juga menjadi aspek penting dalam usaha mendapatkan gol buat pasukan.

"Memang saya mengimpikan untuk kekal berada dalam kesebelasan utama pada aksi seterusnya, namun sebagai pemain, saya tetap akur seperti pemain lain untuk ditentukan oleh jurulatih.

"Kombinasi yang diatur oleh ketua jurulatih bersama rakan sepasukan seperti Milos Gordic, Sony Norde, Sukhrob Nurullaev, Habib Haroon dan juga pemain tempatan lain memberi impak yang baik kepada pasukan dan itulah yang sedang kami usahakan melalui latihan pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:34 PM