EBENEZER Assifuah. FOTO IHSAN KDA FC
EBENEZER Assifuah. FOTO IHSAN KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Saingan Piala FA yang bakal memulakan cabaran pada Jun ini menjadi medan terbaik buat penyerang Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ebenezer Assifuah menyerlahkan ketajamannya buat Sang Kenari.

Penjaring terbanyak saingan Piala MFL musim lalu dengan 13 gol itu sudah melakukan penampilan pertamanya apabila masuk menggantikan Milos Gordic pada minit ke-70 dalam aksi Liga Super menentang Perak FC pada 24 Mei lalu.

Menurut ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain, beliau yakin tahap kecergasan Assifuah akan terus meningkat bagi mempersiapkan dirinya ke tahap terbaik untuk menghadapi saingan Piala FA.

"Impak aksi pertama yang ditunjukkan Assifuah selepas dua minggu bersama pasukan bagi saya agak berpuas hati dan kita ada masa lagi untuk dia betul-betul capai tahap kecergasan terbaik.

"Saya percaya untuk aksi akan datang, tahap kecergasan dan prestasinya akan lebih meningkat dan lebih bagus kerana dia adalah pemain berkualiti.

"Jadi ruang ketika cuti rehat liga ini perlu diisi sebaiknya Assifuah dan juga pemain lain untuk bersiap sedia menghadapi saingan kalah mati itu," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Shamsudin memaklumkan barisan kejurulatihan akan memberikan perhatian meningkatkan prestasi pasukan sebelum menentang kelab Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC pada pusingan 16 Piala FA, 14 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 12:31 PM