ASSIFUAH buktikan dia tonggak berharga buat KDA FC B. -FOTO KDA FC
ASSIFUAH buktikan dia tonggak berharga buat KDA FC B. -FOTO KDA FC
Oleh Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) terus mendapat suntikan terbaik di ruang serangan apabila penyerang importnya Ebenezer Assifuah berjaya membuktikan keampuhannya sebagai peledak berbisa sejak memulakan aksi saingan Piala MFL musim ini.

'Sengat' yang dipamerkan Assifuah dibuktikanya pada aksi terbaharu ketika KDA FC B menewaskan skuad Sabah FC 3-1 dengan sumbangan gol hatrik oleh penyerang kelahiran Ghana itu ketika aksi berlangsung di Stadium Likas selasa lalu.

Kemampuan Assifuah juga dilihat kian menyerlah dengan sumbangan 10 gol melalui lapan perlawanan yang dilaluinya setakat ini dan ini adalah tonik berharga buat skuad bimbingan Ketua Jurulatih Rosle Md Derus yang sedang memberi saingan terbaik mereka.

Menurut Rosle, penampilan yang di tunjukkan Assifuah cukup berkesan dan kemampuan jaringannya telah membantu pasukan dalam menghasilkan kemenangan yang dicari Sang Kenari B pada saingan setakat ini.

"Bagi saya dia (Assifuah) seorang penyerang tulen dan dengan sumbangan dia hasilkan berjaya membantu kami melakar kemenangan sehingga kini.

"Selepas semakin cergas dari kecederaan untuk memulakan aksi bersama pasukan sejak awal musim, saya cuba menyenaraikannya dan dia tidak menghampakan kami dengan peningkatan demi peningkatan dalam sumbangan gol buat pasukan.

"Saya yakin dengan momentum dan motivasi yang ada padanya sehingga kini yang telah menyumbang 10 gol dalam lapan perlawanan, peluang untuk beliau lonjakan lagi diri sebagai penjaring berbisa dalam saingan Piala MFL ini akan semakin meningkat," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 1:23 PM