ASSIFUAH membuktikan dia masih berbisa dengan pengalaman serta pencapaian terbaik bersama KDA FC B. FOTO Ihsan KDA FC
ASSIFUAH membuktikan dia masih berbisa dengan pengalaman serta pencapaian terbaik bersama KDA FC B. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tampil membuat kejutan pada saat akhir selepas jendela perpindahan pemain ditutup semalam dengan mengumumkan bekas penyerang KDA FC B, Ebenezer Assifuah membuat kemunculan kembali bagi memperkuatkan pasukan pada saingan Liga Super musim ini.

Kemunculan kembali bintang kelahiran Ghana berusia 30 tahun yang juga pemenang kasut emas Piala MFL musim 2023 ini bakal memainkan peranan penyerang kedua Kedah musim ini di belakang Milos Gordic.

Pengumuman kemasukan kembali Assifuah yang dilepaskan pasukan pada hujung tahun lalu ini dimuat naik oleh media rasmi Sang Kenari sebentar tadi dengan menyaksikan Ketua Jurulatih Nafuzi Zain kini memiliki pilihan yang terbaik bagi bagi mempertajamkan jentera serangan pada musim ini.

"KDA FC dengan bangga mengumumkan ketibaan Ebenezer Kofi Assifuah-Inkoom, pemain berasal dari Accra, Ghana yang sebelum ini beraksi bersama KDA FC B musim lepas. Dengan kelicikan dan ketajaman di hadapan gol, dia akan mengisi posisi penyerang Sang Kenari musim ini.

"Selamat kembali Ebenezer Assifuah ke keluarga Sang Kenari, musim ini dengan pasukan lebih berpengalaman, menarik untuk disaksikan 'patukan berbisa' dia di depan gawang lawan.

"Walaupun direkrut musim lepas, barisan kejurulatihan membuat keputusan untuk menilai proses pemulihan enam bulan pertama dan mendapati perkembangan dipamerkan Assifuah positif pada enam bulan terakhir saingan Piala MFL, dan buktinya dia bersedia dari segi aspek kecergasan dan mampu beraksi di peringkat lebih kompetitif bersama skuad utama," katanya.

Tambah KDA FC lagi, Assifuah membuktikan dia masih berbisa dengan pengalaman serta pencapaian terbaik bersama KDA FC B pada musim lalu dan juga diyakini dapat menyumbang dalam usaha mempertajamkan lagi jentera serangan yang ditagih pasukan pada musim ini.

"Melalui rekod peribadi terbaiknya, pemain berbakat ini pernah mewakili skuad kebangsaan Ghana di Kejohanan FIFA U-20 pada tahun 2013 dan muncul penjaring terbanyak dengan enam gol selain pernah mewakili kelab FC Sion, Le Havre FC dan Pau FC (Liga Perancis) ini juga muncul sebagai Penjaring Terbanyak Piala MFL edisi sulung dengan jaringan 16 gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2024 @ 6:11 PM