PEMAIN Penang FC, Mohammad Amer Azahar (dua kanan) diasak pemain Kedah Darul Aman FC, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. -FOTO Mikail Ong
PEMAIN Penang FC, Mohammad Amer Azahar (dua kanan) diasak pemain Kedah Darul Aman FC, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman pada perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. -FOTO Mikail Ong
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Masalah penyudah tumpul dilihat masih menghantui Penang FC meskipun pasukan itu mencipta banyak peluang menghasilkan gol pada aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Ketua jurulatihnya, Akmal Rizal Rakhli mengakui anak buahnya sudah berjuang dan bertahan dengan begitu baik sehingga tamat perlawanan namun ia tidak bererti jika corak permainan cantik itu gagal diterjemahkan dalam bentuk kemenangan.

"Ya, kita bertahan dengan baik, kita menyerang sebagai satu pasukan dengan baik tetapi untuk kita menghasilkan jaringan masih lagi kita tak dapat (penyudah yang) betul-betul tajam.

"Walaupun bila bermain kita mencipta peluang, tetapi jika setiap perlawanan kita gagal memastikan jaringan, macam mana kita nak menang? Jadi banyak kerja yang masih perlu saya lakukan.

"Saya dan barisan kejurulatihan akan terus bekerja keras bagi memastikan kita bukan hanya boleh bermain bola dengan cantik tapi mendapatkan keputusan positif demi mendapatkan kemenangan pertama musim ini," katanya.

Bekas penyerang skuad kebangsaan itu melihat kem pelawat banyak mendominasi bahagian tengah berikutan itu beliau menekankan anak buahnya yang berada di posisi tersebut supaya lebih fokus mengurangkan penguasaan Sang Kenari.

Namun, Akmal Rizal berkata, ketika mereka melakukan tugas tersebut dengan cemerlang sedikit kesilapan berlaku menyebabkan pasukan lawan mendapat peluang mencetak gol menerusi penyerang gantian, Ebenezer Assifuah pada minit ke-78.

"Apa yang saya lihat semula tadi (semalam) empat pemain pertahanan kita pergi menghalang seorang pemain tetapi dibahagian belakang, mereka agak leka dan tidak melihat pergerakan Assifuah.

"Kesilapan yang begitu (walaupun) bermain dengan pasukan yang baik kita akan dihukum jadi banyak kelemahan yang akan kita baiki menjelang perlawanan sekali lagi menentang Kedah pada saingan Piala FA akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 1:38 PM