ANTARA aksi Kedah bertemu BTFC. FOTO KDA FC
ANTARA aksi Kedah bertemu BTFC. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan apabila tidak menghadapi masalah membenam skuad Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC (BTFC) 5-0 pada aksi pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Kemenangan pada saingan kalah mati itu melayakkan KDA FC melangkah ke pusingan suku akhir sekali gus memberi kelegaan kepada hampir 5,500 penyokong yang hadir selepas kecewa terkandas pada pusingan pertama, musim lalu.

Ebenezer Assifuah menghadiahkan hatrik buat Sang Kenari menerusi penampilan pertama dalam kesebelasan utama musim ini, selain Milos Gordic dan Amirul Hisyam masing-masing menyumbang satu gol.

Sebaik wisel ditiupkan, Kedah melancarkan serangan melalui pemian sayap, Sukhrob Nurullaev dan Gordic seawal minit ke-2 perlawanan namun gagal memperoleh gol awal.

Pemain BTFC cuba membalas serangan melalui kapten pasukan, Rafiuddin Roddin pada minit ke-8, namun percubaannya tersasar.

Gerakan serangan demi serangan yang dilancarkan Kedah melalui penyerang utama, Gordic dan juga penyerang kedua, Assifuah akhirnya membuahkan hasil apabila Gordic membuka jaringan gol pada minit ke-15 melalui percubaan jarak dekat menewaskan penjaga gawang lawan, Nasrullah Abdul Aziz.

Selang lima minit kemudian, Kedah terus menceriakan penyokongnya dengan menambah gol kedua menerusi pemain tengah, Amirul Hisyam.

Kedah terus memperolehi gol ketiga pada minit ke-39 melalui Assifuah yang menanduk cantik ke gawang dan gagal ditangkap kemas oleh Nasrullah.

Ketika Kedah cuba menambah gol, BTFC melalui Qayyum Mohamed pada minit ke-60 mengejutkan tuan rumah dengan jaringan bola tinggi yang menerjah gawang, namun gol itu disahkan ofsaid menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Kedah yang dikejutkan oleh percubaan pihak lawan itu kembali memburu gol dan berjaya menghasilkan gol keempat melalui gerakan lincah Assifuah dalam kotak penalti minit ke-68 sebelum dia mencipta hatrik pada minit ke-78 selepas menerima hantaran lintang Sukhrob Nurullaev.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 11:13 PM