SKUAD B-16 perlu menunggu sehingga minit 35 untuk berada di depan menerusi Izzuddin. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SKUAD B-16 perlu menunggu sehingga minit 35 untuk berada di depan menerusi Izzuddin. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan ubi muda negara melaungkan amaran di pentas saingan AFF bawah 16 tahun (B-16) apabila membelasah Timor Leste 5-0 dalam aksi pertama kumpulan C, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia itu, menyaksikan barisan anak buah Javier Ribera beraksi cemerlang dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Skuad B-16 negara perlu menunggu sehingga minit 35 untuk berada di depan menerusi Izzuddin Afif yang menggelecek pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan ke kubu lawan.

Babak kedua bersambung menyaksikan skuad muda negara menampilkan permainan lebih agresif dalam usaha mencari tambahan gol.

Malaysia menambah gol kedua menerusi Fahmi Farizamal pada minit 55 hasil umpanan Izzuddin Afif.

Skuad negara makin selesa di hadapan menerusi Awal Wafiy Ahmad Syukri pada minit ke-67.

Arrayan Hakeem kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring dengan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-79.

Awal Wafiy melengkapkan malam gemilang skuad muda negara dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-89 sekali gus keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia mendahului Kumpulan C dengan tiga mata manakala Timor Leste di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Selepas ini, Malaysia bakal menentang Australia pada Rabu ini iaitu pasukan yang dipimpin bekas pengendali skuad 23 tahun negara Brad Maloney.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 11:00 PM