PEMAIN skuad B-16 negara menjalani latihan menjelang perlawanan dengan Australia. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-16 negara menjalani latihan menjelang perlawanan dengan Australia. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perlawanan menentang Australia boleh dianggap ujian sebenar buat pemain skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara dalam aksi kedua Kumpulan C Piala AFF B-16, esok.

Menurut ketua jurulatih skuad B-16 negara, Javier Ribera persiapan rapi sudah dilakukan termasuklah mengenal pasti kelemahan pasukan terutama di bahagian serangan dan pertahanan.

Beliau berkata, barisan pemain akan cuba sedaya upaya memburu gol awal sebagai peniup semangat untuk memastikan tiga mata menjadi milik pasukan muda negara.

"Kita akan mengharungi perlawanan cukup penting dan sengit. Australia sudah pastinya nama besar dan akan cuba meraih kemenangan pertama.

"Mereka seri menentang Thailand, sekali gus mahu mengutip tiga mata apabila menentang Malaysia. Oleh itu, kita akan cuba mencari gol awal untuk pasukan," katanya.

Sebelum itu, pasukan ubi muda negara melaungkan amaran di pentas saingan AFF B-16 apabila membelasah Timor Leste 5-0 dalam aksi pertama kumpulan C.

Perlawanan berlangsung di Stadium Sriwedari, Surakarta, Indonesia itu, menyaksikan pemain muda negara beraksi cemerlang dengan menguasai hampir keseluruhan perlawanan.

Gol dijaringkan Izzuddin Afif, Fahmi Farizamal dan Arrayan Hakeem manakala Awal Wafiy Ahmad Syukri menyumbang dua jaringan untuk negara.

Ketika ini, skuad muda negara berada di kedudukan pertama kumpulan C dengan tiga mata manakala Thailand dan Australia mengutip satu mata selepas kedua-dua pasukan itu mencatat keputusan seri tanpa jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 6:26 PM