PEMAIN negara meraikan kejayaan menewaskan Timor Leste. FOTO FAM
PEMAIN negara meraikan kejayaan menewaskan Timor Leste. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara terus mengaum di bumi Thailand selepas mencatatkan kemenangan 3-1 menentang Timor Leste dalam saingan Kumpulan B Piala AFF B-23, sebentar tadi.

Kemenangan kedua diraih barisan anak buah E Elavarasan di Stadium Rayong itu juga secara tidak langsung mengesahkan tempat ke pentas separuh akhir selepas berjaya bergelar juara Kumpulan B dengan mengutip enam mata.

Elavarasan yang mengambil pendekatan menurunkan barisan kedua hanya memerlukan tempoh lima minit saja untuk mencetak gol pertama menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Alif Ikmalrizal Anuar.

Walaupun tanpa beberapa tonggak utama, skuad B-23 negara terus mempamerkan taring mereka apabila Aliff Izwan Yuslan mudah menyempurnakan hantaran lintang untuk memastikan pasukan negara mendahului perlawanan 2-0.

Tersentak dengan jaringan itu, Timor Leste cuba bangkit dengan mengatur serangan berbahaya ke kubu lawan bagi merapatkan jurang gol.

Usaha berterusan Timor Leste akhirnya membuahkan hasil apabila kealpaan benteng pertahanan Malaysia memberi ruang kepada Olagar Xavier menyumbat gol pertama pasukannya ketika perlawanan separuh masa pertama berbaki empat minit sebelum tamat.

Memasuki babak kedua menyaksikan Elavarasan membuat pertukaran pemain dengan memasukkan beberapa tonggak utama bagi mengelak sesuatu yang buruk berlaku kepada pasukan negara.

Keputusan terbabit ternyata berbaloi apabila bahagian tengah dan serangan negara lebih tersusun sekali gus mampu mengawal perlawanan bagi mengelak gawang Malaysia terus dibolosi.

Malah, Alif Ikmalrizal pula sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Timor Leste apabila menyumbat gol ketiga Malaysia dan kedua peribadinya pada minit 65 untuk kedudukan 3-1.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan sekali gus Malaysia bergelar juara kumpulan B untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala AFF B-23 pada Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 11:13 PM