PEMAIN skuad B-19 negara meraikan jaringan ketika menewaskan Timor Leste, 4-3. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-19 negara meraikan jaringan ketika menewaskan Timor Leste, 4-3. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara mengesahkan tiket ke separuh akhir apabila menang 4-3 ke atas Timor Leste pada Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam ini.

Namun bukan mudah buat anak buah Hassan Sazali Waras untuk mencatatkan kemenangan menentang pasukan terbabit apabila diberi tentangan sengit sepanjang tempoh perlawanan sebelum mengesahkan tiga mata penting milik Malaysia.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad muda negara beraksi lebih konsisten berbanding dua perlawanan terdahulu dengan banyak melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Pasukan negara tidak perlu menunggu lama untuk mendahului perlawanan apabila Najmudin Akmal Kamal Akmal meletakkan Malaysia di depan seawall minit ke 9 untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Namun, Timor Leste hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan Cristevao Moniz Fernandes dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Malaysia Syahmi Adib untuk kedudukan 1-1.

Malaysia sekali lagi berada dihadapan apabila Adam Farhan Faizal bijak menyambar bola muntah sebelum menjaringkan gol kedua Malaysia pada minit 15.

Babak kedua bersambung menyaksikan Aliff Izwan Yuslan berjaya meledak gol ketiga Malaysia pada minit ke-53, namun dua minit kemudian Timor Leste merapatkan kedudukan menerusi Mario Donasio Quintao.

Adam Farhan sekali lagi menjarakkan kedudukan buat skuad negara dengan meledak gol keempat pada minit ke-62 dan walaupun Quintao berjaya menyumbang gol ketiga Timor Leste pada minit ke-76, namun ia tidak cukup untuk menghalang kemenangan Malaysia.

Skuad negara menghuni tangga kedua dengan mengumpul tujuh mata, dua mata di belakang pendahulu Kumpulan B, Laos dan kedua-dua pasukan itu akan membuat perhitungan dalam aksi terakhir, Isnin ini bagi menentukan juara kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 11:26 PM