GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Ramai yang degil dengan enggan mematuhi peraturan jalan raya termasuk tiada lesen memandu atau menunggang motosikal sah.

Itu antara sikap beribu pengguna jalan raya di negeri ini yang diambil tindakan oleh Polis Kontinjen Negeri Sembilan.

Difahamkan sebanyak 6,396 saman dikeluarkan dalam tempoh 25 hari pelaksanaan Op Pematuhan Lalulintas di seluruh negeri ini sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Khalid Othman berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan peningkatan salah laku jalan raya di beberapa lokasi panas di semua daerah.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menjalankan operasi khas di semua daerah bagi mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengguna jalan raya dalam mendidik dan memberi kesedaran supaya mematuhi peraturan lalu lintas.

"Ini berikutan berlakunya peningkatan pengguna jalan raya yang sengaja mengabaikan undang- undang berkenaan," katanya tadi.

Jelas beliau, seramai 4,226 individu dan 6,420 kenderaan diperiksa dalam tempoh operasi itu dilaksanakan.

"Hasil daripada operasi yang dijalankan, JSPT mengeluarkan sebanyak 6,396 saman atas pelbagai kesalahan trafik dengan halangan lalu lintas mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 2,917 saman.

"Diikuti 642 saman kerana abai isyarat lalu lintas, lesen memandu (440), tidak pakai topi keledar (359), nombor pendaftaran (278), cukai jalan (258), langgar lampu isyarat merah (255) dan selebihnya membabitkan kesalahan teknikal," katanya.

Ulasnya, kawasan yang kerap berlaku ketidakpatuhan peraturan lalu lintas menjadi lokasi tumpuan sepanjang operasi dilaksanakan membabitkan 27 lokasi di seluruh negeri.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan serta gagal mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya. Tindakan secara berterusan akan diambil ke atas pengguna jalan raya yang tidak menghormati dan melanggar undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 8:51 AM