Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Ledakan dua gol penyerang Jafri Firdaus Chew membantu skuad muda negara menewaskan Singapura 4-0 pada perlawanan kedua Kejohanan B-19 AFF 2015 di Laos, malam tadi.

Kemenangan itu yang kedua berturut-turut dicipta anak buah pengendali Hassan Sazali Waras selepas membuka langkah kanan ke atas Timor Leste 2-1, Ahad lalu bagi memastikan mereka kini menduduki tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata.

Pada aksi di Stadium Nasional Laos di Vientiane itu, skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-16 hasil tandukan Jafri selepas menerima sepakan sudut Muhammad Shahrul Akmal.

Jafri kemudian tidak menunggu lama untuk menghasilkan gol kedua menerusi sepakan percuma pada minit ke-21 yang gagal diselamatkan penjaga gawang Singapura Benedict Loh Ye-Yang.

Penguasaan Malaysia terus gagal dibendung Singapura pada separuh masa kedua apabila Muhammad Nazirul Afif Ibrahim tidak mensia-siakan hantaran jauh R Kogileswaran untuk gol ketiga pada minit ke-64, tiga minit selepas pemain lawan Muhamad Rizalul Azuwan gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Pemain tengah Danial Ashraf Abdullah melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila melarikan bola dari bawah sebelum melepaskan rembatan kencang dari penjuru kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 4-0 pada minit ke-88.

Tiga mata yang diraih itu memastikan Malaysia berada di landasan terbaik untuk layak ke separuh akhir namun hanya kemenangan dalam aksi ketiga, ke atas Vietnam, esok bakal menjamin tempat ke pusingan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:35 AM