PEMAIN B-19 negara (jersi biru) bertengkar dengan pemain Timor Leste selepas perlawanan.
PEMAIN B-19 negara (jersi biru) bertengkar dengan pemain Timor Leste selepas perlawanan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketumpulan jentera penyudah menafikan hajat skuad bawah 19 tahun (B-19) negara untuk meraih tiga mata apabila tewas mengejut 2-3 kepada Timor Leste di Pusat Latihan Belia Vietnam, Hanoi semalam.

Keputusan itu menyebabkan pasukan negara terpaksa menunggu aksi terakhir menentang seteru utama Vietnam esok bagi mengesahkan slot ke separuh akhir.

Pengendali pasukan, Frank Bernhardt optimis pasukannya mampu layak selaku dua pasukan terbaik dari Kumpulan A itu meskipun gagal meraih kemenangan ketiga selepas beraksi cemerlang menumbangkan Filipina 5-0 dan Singapura 2-1 sebelum ini.

“Keseluruhan pemain beraksi dengan baik dan berjaya mencipta banyak peluang gol, namun gagal dimanfaatkan.

“Saya tidak menolak kepenatan sebagai faktor kami gagal mempamerkan aksi sebenar. Keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi corak persembahan pasukan,” katanya.

Keputusan itu nyata merugikan Malaysia selepas Vietnam yang juga pendahulu kumpulan tidak beraksi hari ini sekali gus menyaksikan skuad Bernhardt kekal di tangga kedua dengan enam mata, satu mata di belakang pasukan tuan rumah.

Timor Leste yang tewas 1-4 kepada Vietnam kelmarin, memperoleh gol pertama pada minit ke-31 menerusi Ima Kefi sebelum penyerang itu sekali lagi meledak empat minit kemudian untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-0.

Ketika permainan memasuki minit ke-45, penyerang Pulau Pinang Jafri Firdaus Chew merapatkan kedudukan kepada 2-1 bagi memberi sedikit kelegaan buat kem negara.

Bersambung babak kedua, Malaysia tidak menunggu lama untuk mengikat 2-2 pada minit ke-58 menerusi Danial Ashraf sebelum Gelvanio muncul wira Timor Leste dengan gol kemenangan pada minit ke-70.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:08 AM