TIMBALAN Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Shafruddin Ali Hussin (tengah) bersama pemenang Kejohanan Futsal Piala Pengarah JPNT. FOTO JPNT
TIMBALAN Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Shafruddin Ali Hussin (tengah) bersama pemenang Kejohanan Futsal Piala Pengarah JPNT. FOTO JPNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Marang membuktikan kehebatannya apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Futsal Piala Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dekat sini, semalam.

Kejayaan yang diraih pasukan itu selepas muncul juara bagi kategori veteran dengan mengetepikan PPD Kuala Terengganu yang muncul naib juara manakala PPD Kemaman dan PPD Setiu berkongsi tempat ketiga terbaik.

Dalam kategori VIP, juara menjadi milik Persatuan Guru Besar Malaysia Terengganu (PGBMT) B, naib juara PPD Marang dan PPD Hulu Terengganu serta PGBMT A masing-masing dinobatkan tempat ketiga bersama.

Bagi kategori senior pula, PPD Hulu Terengganu muncul juara, naib juara diraih PPD Kemaman manakala PPD Dungun dan PPD Besut dinobatkan ketiga bersama.

"Kejohanan dengan kerjasama Bank Kerjasama Rakyat itu disertai 30 pasukan melibatkan tiga kategori yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara guru-guru di negeri ini.

"Kejohanan ini juga menunjukkan kebersamaan dalam menjalankan aktiviti dengan pembabitan lebih 300 pemain dari seluruh negeri ini selain bermatlamat menyemai budaya gaya hidup sihat dalam kalangan warga guru," kata Pengarah JPNT, Jelani Sulong.

Kejohanan yang dirasmikan Ketua Wilayah Bank Kerjasama Rakyat Kelantan/Terengganu, Ghazi Omar turut disertai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Pembangunan Profesionalisme, Shafruddin Ali Hussin dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Abdul Muei Ngah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 6:29 PM