ZAINAL (lima dari kanan) meraikan kejayaan bersama pemenang.
ZAINAL (lima dari kanan) meraikan kejayaan bersama pemenang.
Oleh Rosman Shamsudin


Hulu Bernam: Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya Satu dinobatkan juara berganda apabila mengungguli kategori lelaki bawah 12 tahun dan keseluruhan kategori sekolah rendah Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD Hulu Selangor, baru-baru ini.

Kejohanan berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedangsa, Hulu Bernam dekat sini.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Selangor Zainal Abidin Mohd Yusof.

Turut hadir, Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan PPD Hulu Selangor Rosli Sulaiman dan Pengerusi Bersama Pengetua SMK Gedangsa Raudah Mustafa serta Guru Besar SK Gedangsa Mokthar Hussin.

Naib juara kategori lelaki dimenangi SK Sungai Buaya diikuti SK Tun Abdul Razak.

Kategori perempuan bawah 12 tahun diungguli Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kerling diikuti SK Bandar Baru Sungai Buaya dan SK Taman Bunga Raya Satu.

Jurulatih SK Taman Bunga Raya Satu Wan Mohd Firdaus Abdullah, berkata latihan secara intensif dan sistematik sejak tahun lalu menjadi resipi yang mendorong kejayaan pasukannya.

“Sebelum bermulanya kejohanan, saya menasihatkan peserta sentiasa mengekalkan momentum larian secara berkumpulan dan cuba bersaing dengan peserta lain untuk berada di barisan depan serta jangan sesekali mengalah,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan dalam kejohanan itu dikongsi bersama rakan jurulatihnya, Che Mohamad Che Othman, Guru Besar Mohd Hasren Damiri serta warga sekolah yang memberi sokongan moral.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:08 AM