GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas akibat banjir untuk hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa apabila sesi persekolahan bermula pada 2 Januari ini.

Timbalan Pengarah JPNT (Sektor Pengurusan Sekolah) Azman Othman @ Abdullah berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa banjir dan akan berusaha untuk meringankan beban mereka.

Menurutnya, ibu bapa dinasihatkan memastikan anak mereka tetap hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa untuk sementara waktu.

"Saya ingin berpesan kepada mana-mana murid yang terkesan dengan banjir supaya hadir ke sekolah walaupun dalam keadaan berpakaian biasa sekiranya pakaian mereka musnah semasa banjir.

"Begitu juga jika alat tulis atau buku rosak, mereka tidak perlu bimbang... cuma hadir ke sekolah. Sekiranya buku teks musnah boleh lapor kepada guru kelas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Azman berkata, operasi pembersihan sekolah yang terjejas banjir sedang giat dijalankan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing dengan bantuan komuniti setempat.

Menurutnya, banjir gelombang ketiga yang bermula 24 Disember lalu menjejaskan 32 sekolah terutama di daerah Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.

"Selain itu, lima lagi sekolah masih beroperasi sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Ia termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau; SK Tanjung Pati; SK Padang Pulut; SK Delong di Dungun dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang," katanya.

Setakat 10 pagi tadi, keadaan banjir di Terengganu hampir pulih sepenuhnya dengan hanya 733 mangsa daripada 198 keluarga masih berada di 13 PPS di daerah Marang, Kuala Nerus dan Dungun, menurut sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 1:33 PM