MANGSA banjir yang menetap di PPS SK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus yang menyertai Liga Penalti. FOTO Malik Muhamad
MANGSA banjir yang menetap di PPS SK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus yang menyertai Liga Penalti. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bagi memastikan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tidak terkesan emosi mereka, Persatuan Taman Desa Tanjung Damai (PTDTD) bersama Komuniti Rukun Tetangga (KRT) mengadakan Kejohanan Liga Penalti di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, petang semalam.

Timbalan Pengerusi Persatuan TDTD, Ariffin Manaf berkata, kejohanan ini bagi meredakan emosi lebih 1,000 penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda kediaman mereka sejak Selasa lalu.

"Kejohanan ini bagaikan acara rutin buat penghuni setiap kali kami berpindah ke PPS, kami juga turut mengadakan aktiviti kepada kanak-kanak dan wanita.

"Selain untuk menggembirakan hati penghuni, kejohanan sebegini dapat merapatkan lagi hubungan persaudaraan antara penduduk yang membabitkan 1,200 buah rumah yang ada dalam taman ini.

"Kejohanan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu bawah 17 tahun dan atas 17 tahun membabitkan 24 pasukan," katanya ketika ditemui.

Ariffin berkata, pasukan Argentina bawah 17 tahun muncul juara selepas menumpaskan Perancis dengan keputusan 4-2.

"Bagi kategori atas 17 tahun, pasukan Brazil merangkul kejuaraan selepas mengetepikan cabaran pasukan Croatia dengan kemenangan 3-2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 10:39 PM