PEMAIN SK Seri Budiman bergambar dengan barisan guru sekolah berkenaan selepas muncul juara Kejohanan Bolasepak Bawah 11 peringkat negeri petang kelmarin. FOTO MALIK MUHAMAD
PEMAIN SK Seri Budiman bergambar dengan barisan guru sekolah berkenaan selepas muncul juara Kejohanan Bolasepak Bawah 11 peringkat negeri petang kelmarin. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman melakar kejutan selepas muncul juara Kejohanan Bolasepak Bawah 11 Tahun (B-11) peringkat negeri dengan menumpaskan SK Pusat Kuala Ibai, petang kelmarin.

Pada aksi final yang berlangsung di padang SK Seri Budiman, skuad kendalian Tuan Zainal Abidin Tuan Chilek itu menang menerusi penentuan sepakan penalti 3-1 selepas kedudukan sebenar terikat tanpa jaringan.

Pada aksi separuh akhir, pasukan itu menang tipis 1-0 menewaskan SK Duyong dalam aksi yang mendebarkan manakala SK Pusat Kuala Ibai menumpaskan SK Pusat Chabang Tiga dengan penentuan sepakan penalti 6-5 selepas terikat tanpa jaringan.

SK Duyong dan SK Pusat Chabang Tiga masing-masing dinobatkan sebagai pemenang ketiga bersama.

Pengerusi kejohanan, Salleh@Mokhtar Ismail berkata, kejohanan yang julung kali diadakan di sekolah berkenaan mendapat sokongan padu daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT).

Beliau yang juga Guru Besar SK Seri Budiman berkata, selain untuk mencungkil bakat baharu, kejohanan itu juga bagi memeriahkan Karnival STed 2023 yang turut berlangsung kejohanan catur dan pertandingan mewarna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 3:16 PM