PENYOKONG Scotland masih lagi merasai kekecewaan dibelasah Jerman. FOTO Reuters
PENYOKONG Scotland masih lagi merasai kekecewaan dibelasah Jerman. FOTO Reuters
Reuters

Cologne: Scotland masih lagi merasai kesakitan selepas dibelasah Jerman 1-5 dalam perlawanan pembukaan Euro 2024 Sabtu lalu dan mereka akan mensasarkan untuk menebus kembali kekecewaan penyokong menentang Switzerland Khamis ini.

Scotland ketinggalan pada 10 minit pertama perlawanan dan nyata tidak dapat menandingi Jerman di sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Mereka tidak berupaya untuk menemui sentuhan penyudah yang diinginkan pada pertembungan pertama Kumpulan A itu dan satu-satunya jaringan mereka hadir menerusi tandukan 'saguhati' pasukan lawan, Antonio Rudiger.

"Kami mengecewakan diri sendiri, keluarga kami dan yang paling jelas penyokong dengan mereka mungkin sukar untuk menerimanya," kata penjaga gol, Angus Gunn.

"Kini semuanya bergantung kepada kami untuk bangkit semula dan apa yang baiknya, kami masih berbaki dua perlawanan untuk memperbetulkan keadaan dan kami masih boleh mencapai sasaran."

Mereka dijadual bertemu skuad Switzerland yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Hungary pada aksi pembuka tirai kempen dan Gunn berkata, suasana pasukan berada dalam keadaan positif - berterima kasih kepada sokongan kuat diberikan penyokong Scotland selepas tewas di tangan Jerman.

"Kami tahu apa yang kami harus lakukan untuk cuba mara dari peringkat kumpulan. Apa yang jelas mereka (Switzerland) memperoleh keputusan yang positif pada perlawanan pembukaan, jadi ia akan menjadi sukar tetapi daripada sudut pandangan kami, ia tidak sebegitu rupa," kata Gunn.

"Anda lihat kembali sejauh mana kami sudah pergi, sejauh mana kami sudah lakukan untuk melayakkan diri dan anda harus percaya dengan perkara itu... kami perlu mensasarkan dua kemenangan yang boleh membantu pasukan melepasi peringkat kumpulan dan sekiranya mampu, kami mencapai sasaran."

Scotland dijadual bertemu Switzerland pada Khamis ini di Cologne manakala Jerman sebelum itu bakal mengharungi pertembungan dengan Hungary.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2024 @ 1:24 PM