PEMAIN Switzerland Granit Xhaka (kiri) diasak  McTominay.  FOTO Reuters
PEMAIN Switzerland Granit Xhaka (kiri) diasak McTominay. FOTO Reuters
AFP

Cologne, Jerman: Pengurus Scotland Steve Clarke gembira dengan reaksi pasukannya selepas bangkit daripada kekalahan besar di tangan Jerman dengan meraih keputusan seri 1-1 menentang Switzerland dalam aksi kedua Kumpulan A di Euro 2024, awal pagi tadi.

"Itu yang saya jangkakan. Itu adalah cara kami beraksi sebagai satu pasukan sejak tiga atau empat tahun lalu. Itu sebabnya mengapa kami berada di kejohanan utama," kata Clarke selepas tamat perlawanan di Cologne.

Rembatan Scott McTominay dalam kotak penalti yang terkena pertahanan lawan membolehkan mereka mendahului dalam usaha menebus kekalahan besar 1-5 di tangan tuan rumah pada aksi pembukaan.

Namun, Xherdan Shaqiri menyamakan kedudukan untuk Switzerland dan keputusan seri bermakna mereka semakin hampir layak ke peringkat 16 terakhir manakala Scotland sekurang-kurangnya meraih mata pertama.

"Pemain tahu apa perlu mereka lakukan. Saya rasa ia prestasi berpasukan yang bagus menentang lawan yang mantap," kata Clarke.

"Ia reaksi yang bagus selepas dimalukan Jerman dan kami masih hidup di kejohanan ini."

Scotland akan berdepan Hungary yang tewas kedua-dua aksi setakat ini dalam Kumpulan A pada Ahad dan mereka masih berpeluang mara sekurang-kurangnya sebagai pasukan tempat ketiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 7:22 AM