SHAQIRI (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Scotland. FOTO AFP
SHAQIRI (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Scotland. FOTO AFP
AFP

Cologne, Jerman: Pengurus Switzerland Murat Yakin memuji kemampuan Xherdan Shaqiri yang menjaringkan gol menarik untuk membolehkan pasukannya seri 1-1 dengan Scotland di Euro 2024, awal pagi tadi.

Skuad Yakin ketinggalan menerusi gol awal Scott McTominay di Cologne tetapi Shaqiri mempamerkan magisnya untuk menyamakan kedudukan dengan rembatan hebat.

Bekas penyerang Liverpool itu memintas hantaran Anthony Ralston dan kemudiannya meledak rembatan lencung dari luar kotak penalti ke penjuru gawang Scotland.

Ia antara jaringan tercantik kejohahan setakat ini dan Yakin memuji penyerangnya itu.

"Shaqiri membuktikan kemampuannya malam ini. Dia menunjukkan dia masih mampu menghasilkan gol seperti itu, " kata Yakin.

"Dia memang berhak meraih detik itu. Ia jaringan sempurna dan menyelamatkan pasukan."

Selepas menewaskan Hungary 3-1 dalam aksi pembukaan dan meraih satu mata dengan Scotland, Switzerland kini menduduki tangga kedua Kumpulan A di belakang tuan rumah Jerman.

Dengan empat mata, Switzerland semakin hampir mara ke peringkat kalah mati dalam enam kejohanan utama berturut-turut tetapi dengan syarat mereka tidak tewas dengan jaringan besar di tangan Jerman pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

"Kami masih ada satu lagi perlawanan. Ia masih sangat terbuka. Kami akan melakukan apa sahaja untuk mara," kata Yakin.

"Dalam dua perlawanan ini, kami tunjukkan kami benar-benar sedia berjuang. Scotland memberikan kami masalah dan kami perlu bekerja keras.

"Maruah Scotland terjejas dan mereka perlu bangkit. Kami sepatutnya menang malam ini tetapi mereka turut mencipta peluang."

Jerman antara pasukan terkuat di kejohanan kali ini selepas membelasah Scotland 5-1 dan mengatasi Hungary 2-0 awal pagi tadi.

Yakin tahu Switzerland perlu berdepan ujian getir menentang skuad Julian Nagelsmann di Frankfurt Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2024 @ 7:02 AM