GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Pesawah di seluruh negara diminta mencarum melalui Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) sebagai persediaan berhadapan bencana termasuk kemarau panjang yang dijangka menjejaskan hasil pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata skim yang dijangka dilancarkan dalam tempoh terdekat bakal memberi perlindungan insurans kepada kawasan pertanian yang terjejas akibat bencana.

Katanya, pesawah yang berhadapan masalah itu bakal menerima pampasan bagi kerugian sekiranya tanaman padi rosak akibat banjir besar atau kemarau panjang yang berkemungkinan berlaku pada musim akan datang.

"Ketika ini, STTP dalam peringkat akhir perbincangan antara Agro Bank dan Bank Negara Malaysia (BNM), jika BNM meluluskan, kita akan laksanakan skim ini yang mana kebajikan petani akan terjamin apabila berlaku bencana.

"Tahun lalu apabila berlaku bencana, kita terpaksa proses bantuan kepada pesawah secara manual dan bantuan hanya dapat diserahkan tahun ini. Tetapi melalui, STTP bantuan dijangka dapat disampaikan lebih cepat," katanya pada sidang media selepas Majlis Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi sempena Hari Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Ibu Pejabat MADA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata STTP akan berfungsi sepenuhnya secara dalam talian dan pesawah boleh mendaftar di mana-mana cawangan Agro Bank.

Katanya, skim ini juga antara persediaan kerajaan berhadapan isu perubahan cuaca luar jangka bagi memastikan pesawah tidak mengalami kerugian besar sehingga menjejaskan kehidupan harian.

"STTP ini pesawah kena mencarum melalui bank, jumlahnya tidak banyak tetapi manfaatnya besar.

"Sebab itu kita minta semua pesawah mendaftar sebaik ia dibuka dan mereka kena ada akaun Agro Bank bagi memudahkan bantuan disalurkan.

"Ini boleh menjadi persediaan kepada pesawah ketika bencana berlaku, ketika ini bencana berlaku tanpa kira masa, misalnya musim kemarau panjang dan apabila hujan juga terlalu lama boleh jadi banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 2:32 PM