MAS Ermieyati (tengah). FOTO FB Ermieyati
MAS Ermieyati (tengah). FOTO FB Ermieyati
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) perlu memastikan perjanjian antara pemegang saham dalam isu pajakan tanah Hotel St. Regis Langkawi, dipatuhi.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan daripada perjanjian pemegang saham antara INR Sdn Bhd, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan LADA, yang telah dimuktamadkan dan ditandatangani pada 10 Jun.

"MOF perlu segera memastikan tunggakan pajakan tanah dibayar dalam tempoh enam bulan selepas perjanjian ditandatangani.

"Rundingan mengenai pelan pemulihan komprehensif yang telah dimulakan INR Sdn Bhd dengan pihak Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan pihak Receiver and Manager (R&M), perlu segera dimuktamadkan bagi memastikan tunggakan pinjaman INR Sdn Bhd dapat dijelaskan kepada BPMB," katanya.

Mas Ermieyati berkata Laporan PAC terhadap tindakan susulan LADA dan MOF bagi syor Laporan PAC berhubung Pengurusan Pembangunan Hartanah LADA dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, MOF perlu memastikan tindakan yang akan dilaksanakan terhadap hala tuju projek Perkampungan Tok Senik Resort, tidak akan melibatkan implikasi kewangan dan perundangan di pihak kerajaan.

Beliau berkata PAC juga berpandangan pengurusan Jeti Pelancongan Kuah yang dibina dengan kos RM7.3 juta perlu diuruskan sendiri oleh LADA atau melalui anak syarikatnya iaitu Langsura Geopark Sdn Bhd, memandangkan peruntukan pembinaan jeti ini, daripada peruntukan kerajaan.

"LADA hendaklah lebih giat meneruskan libat urus bersama pihak berkaitan, dalam usaha melaksanakan program yang dirancang sekali gus mempromosi Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan kekal diiktiraf di mata dunia," katanya.

Pada 19 Mac, PAC mengemukakan lima perkara kepada MOF dan LADA untuk dilaksanakan bagi menyelesaikan isu pajakan Hotel St. Regis Langkawi dan projek Perkampungan Tok Senik Resort.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 3:01 PM