Alias Abd Rani


Muar: Tukang cat yang dituduh merogol dan meliwat anak tiri kononnya mahu membuang santau serta menguatkan ilmu ghaib dipelajari, dipenjara 20 tahun serta enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas tertuduh yang berusia 44 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Abu Bakar bertanyakan mengapa tertuduh mendorong melakukan perbuatan sedemikian terhadap anak tirinya.

"Kalau lihat cerita daripada fakta kes, perbuatan kamu (merogol) tidak masuk akal," katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya berusia 17 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Segamat, 11.30 malam, pada 2021.

Hukuman bagi kesalahan ini ialah, tertuduh boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan.

Sebelum ini, tertuduh didakwa menjadikan mangsa sebagai 'isteri kedua' dengan melakukan perbuatan keji itu yang turut disaksikan isterinya dalam bilik.

Namun, wanita terbabit berusia 42 tahun yang juga ibu mangsa sudah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di mahkamah sama pada 30 Januari lalu selepas mengaku bersalah bersubahat dengan tertuduh.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376B kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili Syafie Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan, dengan hukuman itu berkuat kuasa bermula tarikh tertuduh ditahan, 13 November.

Pada masa sama, mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling semasa menjalani hukuman penjara serta pengawasan polis setahun selari dengan Seksyen 26 dan 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 2:58 PM