Che Kem (kanan) terbabit dalam pementasan teater Haji Murat
Che Kem (kanan) terbabit dalam pementasan teater Haji Murat
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon berwibawa Che Kem menyahut cabaran berbeza membawakan watak pejuang bangsa Chechen menerusi teater terbaru lakonannya, Haji Murat.

Che Kem atau nama Kamarulzaman Taib berkata, kewibawaan dan kredibilitinya teruji apabila terbabit dalam teater terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP bermula semalam hingga Sabtu ini.

"Haji Murat sangat berbeza dengan watak lakonan saya sebelum ini. Saya pernah bawa watak Bapa Kemerdekaan negara Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957 Hati Malaya dan Tanda Putera ini.

"Tak dinafikan saya kerap kali tampil memainkan watak-watak berkarakter seperti dalam drama episod One Cent Thief sebagai ahli politik, Tan Sri Syed Hussein yang korupsi dan watak Tuan Firdaus dalam drama Rahimah Tanpa Rahim.

"Tapi Haji Murat adalah watak pejuang bangsa Chechen yang pernah hidup di abad ke-19. Nama Haji Murat sangat signifikan dalam konflik perang antara Rusia dan Chechen sekitar tahun 1840-1852," katanya kepada Harian Metro.

Che Kem berkata, Haji Murat begitu mencabar dan sangat jauh dengan pengetahuannya.

Dia gerun untuk menerimanya, apatah lagi watak Haji Murat adalah tunjang kepada teater ini. "Perbezaan budaya, cara fikir dan hal-hal asas sangat berbeza apatah lagi tidak banyak rujukan mengenai Haji Murat dapat dirujuk selain membaca novel dan analisanya sahaja.

"Saya menerima tawaran ini atas cabaran untuk meneroka satu perwatakan yang hebat. Awalnya saya hanya mencari beberapa ciri persamaan antara saya dan Haji Murat.

"Kemudian melalui pembacaan, menonton dokumentari dan sumber video dari Rusia dan Barat, saya mula mengenali dan menyelami perwatakan Haji Murat dan kehidupan bangsanya.

Ternyata ia sangat menarik dan 'adventurous' (mencabar)," katanya.

Skrip teater Haji Murat ditulis oleh Sasterawan Negara Dato Dr Anwar Ridhwan dan diarahkan secara bersama oleh A.Wahab Hamzah dan Aris Othman.

Selain Che Kem, teater Haji Murat turut membariskan pelakon-pelakon teater yang hebat seperti Dr Rosdeen Suboh, Badrul Tahir, Ard Omar, Rasdi Daud, Saiful Ghaz, Helmi, Faez Salleh, Khai Sabri dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 3:19 PM