ILUSTRASI itu diburu empat pembida melalui telefon. FOTO AFP
ILUSTRASI itu diburu empat pembida melalui telefon. FOTO AFP
AFP

New York: Ilustrasi asli untuk muka depan edisi pertama Harry Potter and the Philosopher's Stone - buku yang memperkenalkan ahli sihir muda berkaca mata kepada dunia berjaya dijual, Rabu lalu, pada harga AS$1.9 juta (kira-kira RM8.96 juta).

Karya seni itu menjadi "barangan Harry Potter paling berharga yang pernah dijual di lelongan," kata rumah lelongan Sotheby's dalam satu kenyataan.

"Ilustrasi itu diburu empat pembida melalui telefon dan dalam talian selama hampir 10 minit sebelum dijual dan jualannya mendapat tepukan."

Karya Thomas Taylor, pelukis ilustrasi yang baru berusia 23 tahun pada 1997 ketika dia melukis imej ikonik budak muda itu dengan parut kilat dan cermin mata bulat, sudah dijangka mencecah jualan antara AS$400,000 (kira-kira RM1.9 juta) dan AS$600,000 (kira-kira RM2.8 juta) di Sotheby's.

Taylor bekerja di kedai buku kanak-kanak di Cambridge, England, apabila dia dipujuk oleh penerbit Barry Cunningham di Bloomsbury untuk melukis imej untuk buku JK Rowling untuk dikeluarkan di London pada 26 Jun 1997.

Dia antara orang pertama yang membaca buku itu, mendapatkan salinan awal manuskrip untuk memaklumkan karya seninya, menurut pakar buku di Sotheby's, Kalika Sands.

"Jadi, dia tahu mengenai 'dunia' itu sebelum orang lain, dan terpulang kepada dia untuk memikirkan bagaimana dia membayangkan Harry Potter," kata Sands kepada AFP sebelum lelongan itu.

Hanya sedikit yang menjangkakan buku itu akan menjadi fenomena global dan ia tidak termasuk Rowling dan Taylor sendiri.

Hanya 500 salinan edisi pertama telah dicetak, dan 300 daripadanya dihantar ke perpustakaan, menurut Sotheby's.

Tetapi buku itu tidak lama kemudian menjadi jualan terlaris. Lebih daripada 500 juta naskhah buku sudah dijual dan diterjemah dalam 80 bahasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 2:55 PM