JERMAN membuka saingan Euro 2024 dengan menewaskan Scotland. FOTO Agensi
JERMAN membuka saingan Euro 2024 dengan menewaskan Scotland. FOTO Agensi
AFP

Munich, Jerman: Tuan rumah Euro 2024 Jerman membuka kempen dengan bergaya apabila membelasah Scotland 5-1 dalam aksi pembukaan kejohanan Eropah itu sekaligus meletakkan pasukan itu dilandasan terbaik meraih gelaran keempat saingan itu.

Tonggak tengah, Florian Wirtz membuka akaun jaringan buat Jerman seawal minit ke-10 sebelum Jamal Musiala menambah dengan gol kedua selepas itu.

Scotland kemudiannya menerima tamparan hebat apabila Ryan Porteous dibuang padang kerana terjahan berbahaya ke atas Ilkay Gundogan, dengan Kai Havertz menyempurnakan sepakan penalti.

Niclas Fuellkrug merembat masuk gol keempat pada pertengahan babak kedua selepas tampil dari bangku simpanan dan gol Amre Can sebelum Antonio Ruediger tertolak bola ke gawang sendiri untuk memberi permulaan sempurna Jerman pada kempen kali ini.

Scotland pastinya tidak membayangkan permulaan buruk sebegitu namun mereka perlu bangkit dengan segera berdepan dua lagi perlawanan dalam Kumpulan A menentang Switzerland dan Hungary.

Selepas kejayaan meraih tiga mata itu, Jamal akui ia kemenangan cukup bermakna dalam memastikan pasukan tuan rumah memulakan kempen dengan langkah kanan.

"Satu permulaan yang terlalu baik. Kami melihat suasananya di negara ini dan kami memerlukannya," kata Musiala mengenai permulaan hebat Jerman.

Buat ketua pasukan Scotland pula, Andy Robertson, ia adalah kekalahan terburuk buat pasukannya terutama dalam aksi pembukaan.

"Hari ini amat mengecewakan tetapi anda bermain menentang tuan rumah dan ia perlawanan pertama...keadaan menjadi lebih sukar," kata Robertson.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 7:16 AM