NORAINI menujukkan gambar arwah suaminya, Abd Wahab yang meninggal dunia di Makkah Selasa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NORAINI menujukkan gambar arwah suaminya, Abd Wahab yang meninggal dunia di Makkah Selasa. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Hasrat arwah suami mahu meninggal dunia di Makkah menjadi kenyataan apabila dia menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah akibat kanser periampullary," kata Noraini Mat Sari, 59.

Noraini adalah isteri kepada Allahyarham Abd Wahab Ramli, 60, yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah ketika menunaikan Rukun Islam kelima bagi musim 1445 Hijrah.

Menurut Noraini, arwah suaminya meninggal dunia pada jam 4.38 petang (waktu Arab Saudi), Selasa lalu di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah.

"Arwah suami yang juga pesara guru mula dimasukkan ke Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah lima hari sebelum ibadat wukuf.

"Disebabkan keadaan kesihatan arwah pada ketika itu tidak mengizinkan arwah terpaksa melakukan Safari Wukuf," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Keseng, di sini, hari ini.

Terdahulu keluarga terbabit dikunjungi Pemangku Pengarah Tabung Haji Negeri Kelantan, Mohamad Rosli Mustapai untuk menyampaikan sumbangan khairat kematian serta mengadakan tahlil.

Noraini berkata, selepas beberapa hari arwah suaminya dirawat dan dibenarkan keluar dari pusat perubatan berkenaan, dia meminta kebenaran daripada pihak pengurusan Tabung Haji untuk diletakkan sebilik bersama arwah disebabkan kesihatannya semakin merosot.

"Pihak Tabung Haji membenarkan kami tinggal sebilik dan saya sempat berbakti kepada arwah dengan menguruskan segala keperluannya sebelum arwah sekali lagi dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sehingga menghembuskan nafas terakhir Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah," katanya.

Noraini berkata, arwah suaminya itu disahkan menghidap kanser periampullary tahap empat sejak Februari lalu dan keadaan kesihatan suaminya tidak menentu.

"Ketika kami mendapat panggilan menunaikan haji selepas 15 tahun menanti, arwah adalah individu yang paling gembira dan sanggup mengetepikan sakit yang dihidapi demi menunaikan Rukun Islam kelima.

"Kami berangkat untuk menunaikan haji pada 10 Mei lalu, ketika itu kesihatan arwah baik dan sepatutnya kami pulang hari ini selepas 49 hari berada di sana," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia di antara 24 hingga 33 tahun ini berkata, dia reda dengan pemergian arwah suaminya itu daripada terus melihatnya menanggung penderitaan akibat penyakit kanser.

"Sepanjang berada di Tanah Suci Makkah, saya tidak putus-putus berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar mematikan sel kanser yang dihidapi oleh arwah suami, namun perancangan Allah SWT melebihi segala-galanya.

"Arwah suami sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara'ie, Makkah pada Selasa dan jenazahnya disolatkan oleh berjuta umat Islam di seluruh dunia di Masjidil Haram.

"Hari ini saya tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) seorang diri tanpa ditemani arwah suami di sisi.

"Namun saya reda dengan pemergiannya dan berdoa semoga arwah ditempatkan di syurga tertinggi bersama syuhada," katanya sambil menahan sebak.

Noraini yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada pihak Tabung Haji serta petugas yang memudahkan segala urusan arwah suaminya termasuk menguruskan proses pengebumian di Tanah Perkuburan Syaraya di Makkah.

Sementara itu, Mohamad Rosli berkata, Allahyarham Abd Wahab Ramli adalah jemaah kedua dari Kelantan selepas seorang lagi jemaah perempuan berusia 54 tahun berasal dari Kota Bharu yang meninggal dunia di Makkah pada 19 Jun lalu.

"Pada musim haji kali ini terdapat seramai 2,400 jemaah haji dari Kelantan membabitkan 13 penerbangan.

"Lima daripada 13 penerbangan yang membawa jemaah haji sudah selamat tiba di tanah air dan penerbangan terakhir jemaah dari Kelantan dijangka tiba pada 2 Julai nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 3:29 PM