EDWARD Kang, 20, menghadapi tuduhan serius, termasuk cubaan membunuh tahap dua. FOTO Agensi
EDWARD Kang, 20, menghadapi tuduhan serius, termasuk cubaan membunuh tahap dua. FOTO Agensi
Agensi

New York: Gara-gara tidak berpuas hati perlawanan dalam talian, seorang pemain permainan video atau 'gamers' sanggup mengambil penerbangan dari New Jersey ke Florida, semata-mata untuk menyerang pesaingnya dengan tukul, lapor NDTV.

Edward Kang, 20, menghadapi tuduhan serius, termasuk cubaan membunuh tahap dua, dan melakukan pecah rumah bersenjata dengan memakai topeng.

Walaupun tidak pernah bertemu secara langsung, Kang yang tiba di Pantai Fernandina, Florida, pada Ahad lalu, kini menghadapi dakwaan menyerang mangsa, kata polis.

Dalam sidang akhbar, Syerif Daerah Nassau Bill Leeper menjelaskan Kang dan mangsa juga lelaki dalam lingkungan umur sama dengan tertuduh adalah pemain dalam permainan dalam talian, ArcheAge.

Leeper menganggap permainan dalam talian yang bertukar kepada serangan ganas itu sebagai "kes yang pelik."

Kang dikatakan terbang dari New Jersey ke Florida, memberitahu ibunya dia melawat rakan yang ditemuinya dalam talian, lapor pihak berkuasa.

Selepas mendarat, Kang membeli tukul dari kedai perkakasan tempatan sebelum menuju terus ke rumah mangsa, yang dibiarkan tidak berkunci.

Kang berdepan dengan mangsa di dalam rumah itu, kira-kira 2 pagi, dan bertindak memukul kepala lelaki itu dengan tukul.

Mangsa mengalami beberapa kecederaan di kepala tetapi sempat meminta bantuan.

Ketika mangsa bergelut dengan Kang, bapa tiri mangsa yang campur tangan dalam pertelagahan segera membantu menahan penyerang sehingga polis tiba di tempat kejadian.

Mangsa terselamat daripada serangan itu dan susulan kejadian, Kang ditahan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 2:42 PM