ZAKIAH ketika memeriksa (dua kiri) buangan e-waste di sebuah kilang yang disyaki beroperasi memproses bahan berkenaan secara haram. FOTO ihsan JAS
ZAKIAH ketika memeriksa (dua kiri) buangan e-waste di sebuah kilang yang disyaki beroperasi memproses bahan berkenaan secara haram. FOTO ihsan JAS
BERNAMA

Alor Setar: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah menahan operasi sebuah kilang yang disyaki menjalankan aktiviti pemerolehan kembali buangan e-sisa secara haram di Sungai Petani, hari ini.

Pengarah JAS Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata penahanan operasi itu dibuat susulan serbuan oleh 45 pegawai dan anggota JAS, polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), 9.30 pagi tadi.

"Kilang berkenaan disyaki memproses buangan e-sisa secara haram yang mana merupakan buangan terjadual secara haram tanpa kelulusan serta tanpa sebarang alat kawalan. Berdasarkan siasatan awal, buangan itu disyaki diimport dari luar negara.

"Tindakan kilang itu berpotensi menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran udara dan pencemaran air. Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan terhadap kilang itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata serbuan yang dilakukan hasil intipan selama dua bulan itu turut menemukan sebanyak 350 metrik tan buangan elektrik dan elektronik di kilang berkenaan dan kesemua buangan itu telah disita untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 18(1), 34A(1) dan 34B(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Selain itu, JIM juga telah menahan seorang wanita dan sembilan lelaki warga China dan Bangladesh atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

"Kesemua warga asing bersama pemilik tanah yang ditahan dalam serbuan itu akan diambil keterangan untuk tindakan susulan," katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Zakiah menasihati pemilik tanah supaya mengambil tahu semua aktiviti yang akan dijalankan oleh bakal penyewa sebelum menyewakan tapak kepada orang lain kerana tindakan perundangan juga boleh dikenakan terhadap mereka.

"JAS menyeru orang ramai untuk bekerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 dan http://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 3:22 PM