PASUKAN Jerman. FOTO AFP
PASUKAN Jerman. FOTO AFP
AFP

Munich, Jerman: Julian Nagelsmann sifatkan tekanan pasukan Jerman sebagai tuan rumah Euro 2024 tidak harus dijadikan beban sebaliknya diambil secara positif menjelang aksi pembuka tirai kejohanan menentang Scotland di Munich, esok.

Jerman yang memenangi tiga kali kejuaraan Eropah itu gagal mempamerkan aksi terbaik sejak kali terakhir mara ke separuh akhir Euro 2016 lalu.

Rentetan daripada prestasi tidak konsisten itu, Jerman sering kali terkandas awal termasuk gagal melepasi peringkat kumpulan di pentas Piala Dunia serta tumbang di tangan England di peringkat 16 terbaik Euro 2021 lalu.

Mengakui agak gementar tampil buat pertama kali selaku pengendali Jerman dalam kejohanan utama, Nagelsmann akui beliau meminta pemain agar mengambil tekanan itu dengan menghadiahkan kemenangan buat penyokong tuan rumah.

"Saya fikir adalah perkara biasa apabila ada rasa sedikit tekanan sebelum kejohanan dan sebelum perlawanan penting seperti ini," kata jurulatih muda berusia 36 tahun itu.

"Akhirnya bagi saya ia adalah mengenai pasukan dan apabila saya bercakap dengan pemain saya, tekanan itu adalah satu bentuk keistimewaan.

"Kami hanya perlu menikmati berada di atas padang, itu sangat penting. Pemain bermain bola sepak sejak kecil dan ini adalah sukan yang paling diminati.

"Jadi jika pemain menikmati setiap saat di atas padang, saya fikir kita tiada masalah untuk mengatasi tekanan itu dan turun menentang Scotland dengan misi mencari kemenangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 7:36 AM