LOEW (tengah) menggalas tugas berat di kempen kelayakan Piala Dunia. FOTO AFP
LOEW (tengah) menggalas tugas berat di kempen kelayakan Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Berlin: Jerman mahu menebus kekecewaan selepas dimalukan Sepanyol pada November tahun lalu selain mengembalikan semula keyakinan peminat dengan memenangi tiga perlawanan pertama kempen kelayakan Piala Dunia.

Jerman akan menanti kunjungan Iceland di Duisburg, Jumaat ini sebelum bertemu Romania di tempat lawan pada Ahad dan kemudian menentang Macedonia Utara tiga hari selepas itu di Duisburg.

"Kami mahu memulakan kempen saingan Eropah dengan keputusan terbaik dan menggembirakan peminat kami," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew selepas menyenaraikan pemain remaja, Jamal Musiala, 18, dan Florian Wirtz, 17, ke dalam skuadnya.

"Cita-cita dan matlamat kami adalah untuk bermula dengan baik dengan meraih tiga kemenangan.

Dua minggu lalu, Loew mengumumkan akan berundur selepas 15 tahun membimbing pasukan kebangsaan sebaik berakhirnya saingan Euro yang dijadual berlangsung dari 11 Jun sehingga 11 Julai.

Beliau memerlukan kemenangan meyakinkan untuk mengembalikan semula keyakinan peminat terhadap skuad kebangsaan selepas dimalukan 0-6 oleh Sepanyol, November tahun lalu yang juga kekalahan terburuk sejak 1931.

Satu tinjauan yan dilakukan oleh majalah Jerman, Kicker mendapati 89 peratus berasakan Loew gagal untuk membentuk semula pasukan sejak tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia 2018.

Loew bagaimanapun enggan memikirkan perkara itu, sebaliknya mahu melihat barisan pemainnya bekerja keras pada sesi latihan untuk mendapat tempat beraksi dalam perlawanan sebenar.

"Kami mahu melihat pada sesi latihan dan perlawanan yang pemain menunjukkan keinginan tinggi untuk beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 11:31 AM