REAKSI Nagelsmann (kanan) ketika bertemu AS. FOTO AFP
REAKSI Nagelsmann (kanan) ketika bertemu AS. FOTO AFP
AFP

New York: Julian Nagelsmann memulakan kariernya sebagai jurulatih Jerman dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Amerika Syarikat (AS) dalam perlawanan persahabatan, awal pagi tadi.

Jerman dilihat lebih baik berbanding ketika mengalami kekalahan 1-4 di tempat sendiri kepada Jepun bulan lalu, keputusan yang menyaksikan Hansi Flick dipecat sebagai jurulatih selepas lima perlawanan tanpa kemenangan.

Tuan rumah Euro 2024 itu tidak mampu lagi untuk menerima satu lagi kekalahan mengejutkan tetapi mereka mempamerkan persembahan yang mantap selepas ketinggalan menerusi gol pembukaan Christian Pulisic pada perlawanan di East Hartford, Connecticut itu.

Ilkay Gundogan menyamakan kedudukan pada minit ke-39 selepas kerja keras Leroy Sane yang menggelecek benteng pertahanan AS, bermain satu dua dengan Gundogan sebelum cuba mengatasi penjaga gol Amerika, Matt Turner, yang menumbuk bola dan singgah di kaki Gundogan.

Jerman mendahului pada minit ke-58 apabila penyerang tengah Niclas Fuellkrug meledak masuk berikutan hantaran menarik Robin Gosens.

Ketika benteng AS kelam-kabut, Fuellkrug kemudian mengumpan kepada Jamal Musiala yang mudah menampan masuk untuk menjadikan kedudukan 3-1 buat tuan rumah Euro 2024 itu.

"Menentang satu pasukan yang banyak kepantasan, kami mengamalkan pendekatan yang amat bagus dari segi bola sepak," kata Nagelsmann, 36, yang berasakan pasukannya agak tergesa-gesa dalam tempoh 45 minit pertama.

Jerman akan berdepan Mexico di Philadelphia awal pagi Rabu ini manakala AS menentang Ghana di Nashville.

AS dan Mexico adalah tuan rumah bersama pusingan akhir Piala Dunia 2026 selain Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 9:14 AM