Cristiano Ronaldo. FOTO Agensi
Cristiano Ronaldo. FOTO Agensi
Reuters

Aveiro: Cristiano Ronaldo melaungkan amaran menjelang Euro 2024 apabila dia meledak dua buat Portugal bagi membantu negaranya menumbangkan Ireland 3-0 dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum ke Jerman.

Ronaldo yang sudah menjangkau usia 39 tahun masih lagi berbisa dengan meledak gol di babak kedua.

Pantas Euro yang mungkin menjadi kemunculan terakhirnya di kejohanan terbesar Eropah itu adalah peluang terakhir buatnya menambah koleksi kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, dia sebelum ini pernah membawa negaranya menjuarai Euro pada 2016 lalu.

Dalam aksi itu, Portugal berada di depan hasil jaringan Joao Felix pada minit ke-18 biarpun empat minit kemudian, Ronaldo hampir menambah jaringan tetapi percubaannya tersasar.

Dia bagaimanapun tidak mensia-siakan peluang di awal babak kedua dengan melencongkan bola untuk gol kedua Portugal dan menambah jaringan pada minit ke-60 untuk gol ke-130nya dalam 207 penampilan antarabangsa.

"Sangat luar biasa. Saya tidak ada kata-kata untuk menggambarkan bagaimana perasaan saya dapat bermain dengannya.

"Dua lagi gol hari ini, dia menamatkan aksi pemanas badan Euro dengan baik, jadi harapan sangat tinggi.

"Kami tahu dia akan memberikan 200 peratus untuk membantu pasukan kebangsaan, dan kami sudah pasti mengharapkannya dia akan terus menjaringkan gol," kata Neves.

Portugal memulakan kempen Kumpulan F Euro 2024 dengan menentang Republik Czech di Leipzig sebelum berdepan Turkiye dan Georgia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 9:12 AM