CRISTIANO Ronaldo. FOTO Agensi
CRISTIANO Ronaldo. FOTO Agensi
AFP

Porto: Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo membuktikan dirinya masih berbisa apabila membantu negaranya layak ke Euro 2024 selepas meledak dua gol untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Slovakia, awal pagi tadi.

Ketua pasukan Portugal itu menyempurnakan penalti pada babak pertama sebelum menambah gol kedua di selepas rehat untuk menghadiahkan kemenangan ketujuh dalam Kumpulan J itu, sekali gus mengumpul 1 mata untuk mengesahkan kedudukan teratas kumpulan itu.

Pengendali pasukan, Roberto Martinez akui Ronaldo masih pemain terbaik Portugal dan dua jaringannya membuktikan dirinya masih berbisa.

"Cristiano Ronaldo sedang menikmati permainannya dan kerap menjaringkan gol dalam perlawanan untuk kelabnya. Dia memiliki pengalaman bersama skuad negara dan menjadi inspirasi buat pemain muda," kata Martinez.

Dalam aksi itu, tuan rumah bermula baik apabila Goncalo Ramos menanduk masuk hantaran lintang Bruno Fernandes pada minit kelapan, menewaskan Martin Dubravka di gawang Slovakia.

Pada minit ke-29, bola terkena tangan Denis Vavro dan VAR mengesahkan penalti untuk Portugal dan Ronaldo tenang menyempurnakan jaringan peribadi ke-124 di peringkat antarabangsa.

Pelawat bangkit merapatkan jurang pada minit ke-69 apabila percubaan David Hancko terkena Antonio Silva dan membolosi gawang Portugal buat pertama kali di peringkat kelayakan ini.

Tiga minit kemudian, Ronaldo menambah jaringan selepas menolak masuk hantaran Fernandes untuk gol ke-125 bersama Portugal, dan 10 minit sebelum tamat permainan, Stanislav Lobotka menjaringkan gol kedua Slovakia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 8:23 AM