Reuters

Paris: Pengendali Portugal Fernando Santos tetap percaya ketua pasukannya, Cristiano Ronaldo (gambar) mampu melaksanakan tugas mengambil sepakan penalti biarpun beberapa kali gagal menyudahkan sepakannya sama ada ketika mewakili kelab mahupun pasukan kebangsaan.

Ronaldo yang juga penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk negaranya, gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika seri 0-0 dengan Austria dalam saingan kumpulan F Ahad lalu, kegagalan keempat daripada lima percubaan terakhirnya ketika menyarung jersi Portugal dan Real Madrid.

“Jika ada penalti lagi Ronaldo tetap akan mengambilnya dan menjaringkan gol untuk kami.

“Dia dilahirkan sebagai penyerang sejati dan seorang pemenang tidak mudah berputus asa walaupun melakukan kesilapan. Itu yang kami harapkan daripadanya,” kata Santos.

Ronaldo yang meraih cap ke-128 pada aksi itu, dilihat masih gagal memberi sumbangan bermakna buat pasukannya bagi kempen Euro kali ini apabila deretan peluang terhidang gagal diterjemahkan kepada jaringan sekali gus terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri dalam dua aksi.

Bek kiri Portugal Raphael Guerreiro semakin memberi tekanan terhadap kedudukan Ronaldo sebagai pakar sepakan percuma selepas menjaringkan gol cantik ketika menewaskan Norway 3-0 pada aksi pemanas badan sebelum kejohanan itu ketika Ronaldo tidak beraksi.

“Ronaldo sentiasa mahu mengambil tendangan percuma. Jika Guerreiro tidak menjaringkan gol itu (aksi persahabatan), tiada siapa yang akan bercakap mengenai perkara ini.

“Kami bermain baik menentang Austria dan persembahan seperti itu harus diteruskan biarpun gagal meraih sebarang gol. Kami membuat Austria yang berkedudukan ke-10 dunia (ranking FIFA), kelihatan seperti pasukan biasa,” kata pengendali itu.

Menurut Santos, Portugal tidak harus malu kerana belum menampilkan permainan menarik dan sudah memberitahu keluarganya beliau tidak akan kembali sehingga sehari selepas Euro dengan mengharapkan suasana pesta.

“Ada kalanya saya rasakan kami malu kerana tidak menampilkan permainan menarik. Jika kami perlu menampilkan aksi lebih keras dan berkesan, jadi kami akan bermain dengan keras.”

Portugal perlu menewaskan Hungary pada aksi terakhir kumpulan Khamis ini untuk memastikan tempat di pusingan berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 8:35 AM