BRUNO Fernandes bersama Portugal dalam Kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi. FOTO Agensi
BRUNO Fernandes bersama Portugal dalam Kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi. FOTO Agensi
AFP

Slovakia: Jaringan tunggal bintang bola sepak Portugal, Bruno Fernandes berjaya memastikan negaranya mengekalkan rekod bersih dalam Kelayakan Euro 2024 selepas menang tipis 1-0 ke atas Slovakia di Bratislava.

Begitupun disebalik kecemerlangan Fernandes itu, legenda Portugal iaitu Cristiano Ronaldo pula gagal menyerlah dengan dia dilayangkan kad kuning ekoran kekasaran ke atas pemain Slovakia sekali gus terlepas aksi menentang Luxembourg Isnin ini.

Malah, Ronaldo juga gagal menambah koleksi gol yang ke-850 sepanjang kariernya dalam penampilan ke-201 pada usia 38 tahun ketika ini.

Pujian harus diberikan kepada Fernandes yang juga bintang Manchester United itu yang berjaya meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-43 bagi memastikan Portugal kekal mendahului Kumpulan J.

Menerusi kutipan tiga mata penuh itu, skuad kendalian Roberto Martinez mengutip 15 mata maksimum dalam lima aksi setakat ini untuk meninggalkan Slovakia di tangga kedua dengan perbezaan lima mata.

Jelas Fernandes, dia gembira dengan kemenangan itu di mana jaringannya membolehkan Portugal dalam laluan terbaik untuk layak ke pusingan akhir tahun depan.

Bagaimanapun katanya, kejayaan di tempat lawan itu bukan mudah apabila Slovakia memberi tekanan sepanjang perlawanan di depan penyokong tuan rumah.

"Kami sedar ia akan menjadi rumit tetapi kami berjaya merungkai permainan. Kami perlu mengawal bola lebih lama, lebih bersabar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 8:56 AM