AFP

Lisbon: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol untuk membantu Portugal membelasah Estonia 7-0 dalam aksi pemanas badan Euro 2016 di Stadium of Light Lisbon semalam.

Bintang Real Madrid itu menghasilkan kedua-dua jaringan itu dalam tempoh sembilan minit sebelum babak pertama tamat.

“Hari ini (semalam) kami membuktikan pasukan ini dalam keadaan terbaik di setiap bahagian. Kami menjaringkan tujuh gol tapi itu tidak memberi banyak makna. Kami tidak boleh terlalu mendabik dada,” kata Ronaldo selepas tamat perlawanan itu.

“Ia kejohanan yang sukar untuk menang dan kami perlu memberi fokus satu demi satu perlawanan.”

Ricardo Quaresma yang bergandingan dengan Ronaldo menyumbat dua gol selepas turut meledak ketika menentang Norway manakala jaringan sendiri dan sentuhan Danilo dan Eder melengkapkan kemenangan bergaya mereka.

Portugal mengalahkan Norway 3-0 pada aksi pemanas badan pertama namun tumpas 0-1 kepada England minggu lalu ketika ketiadaan Ronaldo dan Pepe.

Ronaldo kini sudah bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman buat negaranya. Namun dia masih gagal memenangi sebarang kejohanan utama setakat ini bersama Portugal.

Dengan usianya kini 31 dan undian agak mudah menentang Austria, Hungary dan Iceland yang membuat penampilan pertama dalam Kumpulan F, Ronaldo dilihat mampu menyinar di pentas antarabangsa kali ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 10:19 AM