PENGERUSI AFL, Datuk Yusoff Mahadi. -FOTO NSTP
PENGERUSI AFL, Datuk Yusoff Mahadi. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Amatur (AFL) mahu pastikan musim ini terdapat pasukan Liga Semi Pro A1 berjaya menembusi 'halangan' untuk beraksi di pentas Liga Super 2025/2026.

Pengerusi AFL, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan membantu sedaya upaya supaya kelab yang layak dinaikkan pangkat mematuhi semua dokumentasi dan garis panduan ditetapkan First Instance Body (FIB).

Beliau berkata, rata-rata kelab yang layak untuk ke Liga Super pada musim lalu terpaksa 'berputih mata' kerana tidak mematuhi pelesenan kelab menyebabkan permohonan mereka gagal.

"Walaupun bengkel atau kursus berkaitan pelesenan sudah dilaksanakan, terdapat kekurangan pemantauan rapi dan bimbingan langsung daripada FIB.

"Adalah penting bagi pasukan menerima pendidikan dan sokongan yang mencukupi untuk memenuhi kriteria pelesenan, memastikan peluang yang adil untuk kenaikan ke Liga Super," katanya.

Mengikut rekod, sebelum ini Imigresen FC dan KL Rovers antara pasukan yang dicanang bakal mengisi kekosongan slot ke-14 bagi saingan Liga Super musim ini.

Namun, kedua-dua pasukan itu terpaksa melupakan hasrat itu memandangkan permohonan mereka ditolak FIB.

KL Rovers menamatkan saingan Liga M3 musim lalu selaku naib juara di belakang Imigresen FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 5:06 PM