PEMAIN TFC Liridon Krasniqi mengasak pemain KL Rovers dalam pada Ogos 2023.
PEMAIN TFC Liridon Krasniqi mengasak pemain KL Rovers dalam pada Ogos 2023.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Saingan Liga Super di Lembah Klang mungkin lebih meriah selepas ini apabila kemungkinan pasukan KL Rovers akan 'dinaik taraf'untuk beraksi di pentas tertinggi itu pada musim 2024/2025.

Menurut Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Syed Yazid Syed Omar, pasukan yang beraksi di Liga M3 itu giat menyediakan segala dokumen diperlukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Beliau berkata, KL Rovers yang bernaung di bawah KLFA juga sudah mempunyai beberapa penaja bagi membolehkan pasukan terbabit beraksi dalam kancah Liga Super untuk musim ini.

"Imigresen FC juga bernaung di bawah KLFA dan ketika ini saya dimaklumkan bahawa mereka belum lagi menyatakan minat untuk beraksi di Liga Super.

"Oleh itu, KL Rovers yang mengakhiri saingan Liga M3 di tempat kedua akan menyahut cabaran untuk beraksi di Liga Super kelak. Ketika ini, KL Rovers berusaha melengkapkan segala dokumen diperlukan dan mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan MFL," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan perjuangan Kelantan FC dalam saingan Liga Super menemui titik noktah selepas Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan permohonan Lesen Kebanngsaan pasukan itu.

Ini bermakna, tiada kelibat Kelantan FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2024/2025 sekali gus pasukan terbabit boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kelab lain.

Keputusan itu, menyaksikan saingan Liga Super hanya tinggal 13 kelab sekali gus memerlukan kelab lain bagi membolehkan perlawanan lebih seimbang.

Mengikut rekod, MFL sebelum ini terpaksa membuka 'talian hayat' mengejut kepada pasukan dari Liga M3 untuk menghantar kembali permohonan lesen luar biasa bagi menyertai Liga Super musim 2024/2025.

Menerusi kenyataan rasmi di Facebook MFL, pihak mereka terpaksa melakukan perkara itu selepas mengambil kira keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 3:23 PM