KDA FC lunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Super, pasukan bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun. FOTO Malaysian Football League
KDA FC lunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Super, pasukan bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun. FOTO Malaysian Football League
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh mengharungi saingan Liga Super musim ini dengan tenang selepas pasukan terbabit sudah menyelesaikan bayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi tahun lalu sebelum tarikh akhir ditetapkan kelmarin.

Perkara itu disahkan badan bebas, First Instance Body (FIB) berdasarkan surat bertarikh 18 April lalu serta dokumen pembayaran yang sudah diserahkan kepada MFL.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, pihaknya sudah menyemak dokumen pembayaran dan mendapati KDA FC berjaya melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai Liga Super, pasukan bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun.

"Bagaimanapun terdapat dua pemain masih belum mendapat bayaran berikutan kes masih dalam perbicaraan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan (NDRC) iaitu Lee Andrew Tuck dan Jonathan Boareto dos Reis.

"Namun kesemua bayaran tunggakan seperti diarahkan FIB berjaya diselesaikan KDA FC bagi membolehkan pasukan kekal mendapat Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super bagi musim 2024-2025.

"FIB bagaimanapun mengekalkan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025 dan denda RM 50,000 atas kegagalan membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh akhir 30 Mac 2024 sebelum FIB memberi lanjutan masa sehingga 20 April 2024," katanya, menerusi kenyataan media, sebentar tadi.

Sebelum ini, FIB mengumumkan KDA FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi pertandingan Liga Super musim 2024-2025.

Hukuman itu dikenakan susulan kegagalan kelab terbabit membuat penyelesaian penuh tunggakan gaji bagi 2023 dengan mereka turut dikenakan denda RM50,000.

KDA FC sudah diberikan masa untuk menyelesaikan keseluruhan tunggakan gaji berkenaan pada 30 Mac 2024, namun selepas tarikh akhir itu, kelab berkenaan gagal mematuhi syarat ditetapkan oleh FIB.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 12:36 PM