KELANTAN FC hantar permohonan sertai Liga M3. -FOTO NSTP
KELANTAN FC hantar permohonan sertai Liga M3. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelantan FC tidak mahu mengangkat bendera putih dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila akan bermula dari bawah dengan beraksi di saingan Liga M3.

Situasi terbabit disahkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang akan membuat permohonan kepada Liga Amatur Malaysia (AFL) untuk pasukannya beraksi di liga terbabit untuk musim ini.

Beliau berkata, pasukannya perlu menerima hakikat tidak lagi beraksi di pentas tertinggi iaitu Liga Super namun bersedia membuat 'comeback' kelak apabila Kelantan FC sudah pulih atau segala masalah selesai.

"Kita tidak akan mengaku kalah atau Kelantan FC tidak berkubur apabila meneruskan saingan di Liga M3 untuk musim ini.

"Kelantan FC terpaksa menerima hakikat rayuan ditolak dan akan bermula dari bawah. Saya akan minta pengurus menghubungi AFL untuk memohon beraksi di Liga M3," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bahawa persoalan nasib Kelantan FC sama ada boleh beraksi di Liga Super atau sebaliknya akhirnya menemui titik noktah apabila Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan permohonan Lesen Kebangsaan pasukan itu.

Ini bermakna, tiada kelibat Kelantan FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2024/2025 sekali gus pasukan terbabit boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kelab lain.

Kelantan FC mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2023 pada 1 Januari lalu.

Mengikut rekod, Kelantan FC gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pelesenan Kelab MFLyang diadakan secara dalam talian.

Jelas Sheikh Mohd Nasir, Kelantan gagal melengkapkan dua kriteria Kewangan di bawah sub-kriteria F.04 dan sub-kriteria F.11 sebelum tarikh akhir ditetapkan masing-masing pada 30 November dan 31 Disember lalu.

Pasukan berpangkalan di Timur tanah air itu didapati masih lagi mempunyai tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 2:39 PM