STUART memaklumkan tiada pasukan Liga M3 dinaikkan pangkat ke Liga Super bagi musim depan. FOTO ARKIB NSTP
STUART memaklumkan tiada pasukan Liga M3 dinaikkan pangkat ke Liga Super bagi musim depan. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengharapkan semua 14 pasukan dapat meneruskan saingan di Liga Super musim depan, dengan tanpa ada satu pun yang sangkut.

Jelas Stuart, beliau berharap Kelantan FC akan dapat memenuhi syarat ditetapkan sebelum hujung bulan ini.

"Kita harap Liga Super masih ada 14 pasukan dan slot ke-14 itu berada dalam pasukan itu sendiri (Kelantan FC).

"Selepas tarikh akhir 31 Disember nanti, saya jawap soalan itu (sama ada Liga Super kekal 14 pasukan).

"Buat masa ini, MFL selaku badan organisasi Liga Malaysia (Liga M) mengharapkan slot ke-14 itu masih diisi Kelantan FC jika mereka boleh memenuhi syarat seperti dibentangkan FIB (First Instance Body).

"Jika mereka gagal selesaikan syarat seperti dinyatakan FIB, secara automatik Kelantan FC menyingkirkan pasukan mereka sendiri dari Liga Super," kata Stuart pada sidang media FIB berkenaan keputusan pelesenan kelab Liga Super dan kelab AFL M3.

Sementara itu dalam sidang media sama, tiada pasukan dari Liga M3 'dinaikkan pangkat' selepas tiada yang menerima lesen kebangsaan.

Tujuh pasukan Liga M3 terdiri daripada Imigresen FC, KL Rovers FC, Harini Selangor FT, Armed Forces FC, Perlis United FC, Melaka FC dan Sarawak United FC memohon lesen kebangsaan 'luar biasa' bagi kitaran pelesenan tahun 2023 untuk lesen kebangsaan Liga Super musim 2024/25.

Namun begitu, semua tujuh pasukan itu tidak diberikan lesen kebangsaan selepas keputusan yang dibuat pada Mesyuarat FIB pada 31 Oktober 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 6:17 PM