PENGURUS Besar KL Rovers, Fadzlie Ahmad. FOTO KL ROVERS
PENGURUS Besar KL Rovers, Fadzlie Ahmad. FOTO KL ROVERS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: KL Rovers mempunyai cadangan 'bernas' untuk memeriahkan lagi kancah Liga Super apabila mahu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan pasukan itu termasuk Imigresen FC dan Harini FC diberikan lesen menyertai saingan musim 2024/2025.

lni bermakna, saingan Liga Super musim 2024/2025 akan disertai 16 pasukan sekali gus menyaksikan pertambahan perlawanan berbanding tahun lalu.

Menurut Pengurus Besar KL Rovers Fadzlie Ahmad, pasukannya sudah memohon pertimbangan dan rayuan MFL untuk membenarkan mereka beraksi di Liga Super musim ini.

Pada masa sama, beliau juga mahu MFL mempertimbangkan pasukan Imigresen FC dan Harini FC bagi mencukupkan 16 pasukan beraksi.

Katanya, KL Rovers sudah bersedia daripada segala segi termasuk menghantar segala dokumentasi pelesenan kelab sebelum tarikh tutup permohonan.

"Mungkin penilaian daripada pihak MFL merasakan kami tidak layak, namun jika ada kriteria yang tidak lengkap kami memohon diberikan ruang untuk memenuhinya, sepertimana ruang yang diberikan kepada pasukan Perlis.

"Kami sudah menjadi naib juara Liga M3 selama dua tahun. Sudah tentu impian kami untuk bermain di Liga Super selepas itu," katanya.

Pada saingan Liga M3 musim lalu, KL Rovers muncul naib juara di belakang Imigresen FC, sekali gus diberi peluang memohon Lesen Kebangsaan bagi beraksi di Liga Super musim ini.

Isnin lalu, satu sesi temuduga dijalankan oleh First Instance Body (FIB) yang memanggil empat wakil kelab termasuk KL Rovers, Imigresen FC, Harini FT dan Perlis United.

Begitupun menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL kelmarin, MFL mengumumkan Perlis United menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 bagi menyertai saingan Liga Super musim ini dengan syarat perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir hujung bulan ini.

Berikutan itu, KL Rovers kemungkinan memilih menyertai Liga Singapura selepas permohonan untuk beraksi di Liga Malaysia (Liga M) ditolak MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 5:04 PM