KELANTAN FC sudah menyerahkan dokumen pembayaran. FOTO FB Kelantan FC
KELANTAN FC sudah menyerahkan dokumen pembayaran. FOTO FB Kelantan FC
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sudah menerima dokumen pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Kelantan FC yang berakhir semalam.

Menurut kenyataan media MFL, dokumen berkenaan akan diteliti dan disemak oleh badan bebas pelesenan kelab Liga Malaysia, First Instance Body (FIB) terlebih dulu.

Jelas MFL lagi, pihaknya turut akan mendapatkan pengesahan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum keputusan rasmi berkenaan pemberian Lesen Kebangsaan kepada skuad The Red Warriors (TRW) diumumkan.

"MFL mengesahkan Unit Pelesenan Kelab MFL menerima dokumen berkenaan pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai Kelantan FC semalam.

"Bagaimanapun segala dokumen berkenaan pembayaran babitkan 30 pemain dan pegawai Kelantan FC itu kini dalam proses semakan oleh FIB.

"Pengesahan pembayaran perlu dilakukan oleh FIB dengan semua pihak yang terbabit termasuk merujuk perkara itu dengan PFAM sebelum membuat pengumuman dalam masa terdekat mengenai status permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC bagi saingan Liga Super 2024-2025," kata MFL.

Terdahulu, Kelantan FC satu-satunya pasukan yang masih belum mendapat Lesen Kebangsaan bagi musim depan selepas didapati masih mengalami tunggakan gaji.

Begitupun TRW diberi 'talian hayat' oleh FIB untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan sehingga semalam bagi membolehkan mereka kekal beraksi di Liga Super musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 2:48 PM