PENGENDALI SFC, Nidzam Jamil. -BERNAMA
PENGENDALI SFC, Nidzam Jamil. -BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Selangor FC (SFC) sudah pastinya mengambil sikap berhati-hati terhadap corak bertahan bertahan Negeri Sembilan menjelang pertembungan dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Pengendali SFC Nidzam Jamil menjelaskan pasukannya sedia maklum bahawa Negeri Sembilan cukup licik apabila bijak memerangkap pihak lawan menerusi serangan balas mereka.

Nidzam berkata, barisan kejurulatihan akan membentuk taktikal yang sesuai serta memberi maklumat mengenai pasukan lawan dan selepas itu pemain di atas padang yang harus mainkan peranan untuk mencipta keputusan positif.

"Saya sangat menghormati jurulatih, Azzmi (Ab Aziz) dan pasukan Negeri Sembilan. Kadang-kadang dalam bola sepak ini kita selalu anggap pasukan yang bermain secara bertahan sebagai pasukan serba kekurangan.

"Tetapi tidak, ada sahaja pasukan di luar negara yang penuh dengan bakat, tapi mereka menyesuaikan permainan bertahan dengan baik untuk melakukan serangan balas.

"Sudah pasti kita kaji permainan mereka (Negeri Sembilan), kita tahu setiap pemain yang ada di sana. Tapi sekali lagi saya cakap, apa pun masalah yang diberikan pasukan lawan, kami harus ada jawapannya.

"Jika pasukan itu memberi kami separuh padang untuk bermain dan mereka hanya menutup di belakang, kami kena tahu bagaimana nak main di belakang pertahanan mereka. Namun, soalan-soalan itu pemain kena jawab pada hari perlawanan," katanya.

Selangor memiliki motivasi terbaik selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) 1-0 di gelanggang sama, Sabtu lalu manakala nasib berbeza buat Negeri Sembilan apabila tewas 1-3 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Malah, Gergasi Merah juga sekali lagi bakal memperoleh semangat tambahan daripada penyokong atau pemain ke-12 mereka apabila tiket bagi aksi itu dilaporkan sudah habis dijual.

Mengulas mengenai perkara itu, Nidzam mengakui kehadiran penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan menjadi rangsangan tinggi buat pemain untuk beraksi di atas padang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 5:40 PM